Monday, August 25, 2008

Ia hanya sebuah permulaan....!!!

Jika yang disuruh pilih, ukurannya adalah harta, maka harta itu mudah dikira.
Jika yang disuruh pilih, hitungannya adalah rupa, maka rupa tidak luput dinilai mata.
Andai yang disuruh pilih, ketentuannya adalah keturunan, maka keturunan itu sudah jelas di ketentuan.
Akhirnya yang disuruh pilih itu, adalah pada yang beragama. Sedangkan agama itu sulit sekali mahu diukur.

Justeru bagaimanakah yang dikatakan seseorang itu beragama? Adakah pada pakaiannya, solatnya, ilmunya, bakatnya, usrahnya, atau apa? Amat payah, pilihan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu ialah pada sesuatu yang amat abstrak.
Namun akhirnya dalam sulit itu, segala puji bagi Allah kerana melorongkan ramai anak muda hari ini agar memilih yang sulit itu. Hatta yang tidak pernah kisah dengan tuntutan-tuntutan agama pun, masih mahu satu-satunya hari permulaan perkahwinan mereka, disimpan aurat agar berkat. Mahu pernikahan itu sandarannya adalah agama.


IA HANYA PERMULAAN
“Permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya suatu permulaan”

Bahawa dengan memilih calon pasangan hidup yang beragama itu adalah jaminan kepada ketenangan dan kebahagiaan. Kerana memilih itu sendiri sudah dalam seribu kepayahan.
Tetapi realiti tidak mengizinkannya.

SEPI
Ada kalanya, dalam kesibukan masing-masing kita dengan mudah menyebut, “no news is a good news“. Kalau kemalangan, atau sakit, atau mati, adalah berita yang kedengaran. Tapi kalau tiada sebarang khabar berita, tentu sahaja semuanya seperti biasa. Hakikatnya tidak… apabila ada kenalan yang tiba-tiba senyap. Menyepikan diri. Lama tidak kedengaran sebarang berita, tiba-tiba apa yang sampai ke telinga tidak enak pula.
Masalah rumahtangga…

Sakit membisingkan persekitaran. Kemalangan mencetuskan kegemparan. Kematian pasti mengucar kacirkan keadaan. Tetapi jika ada teman yang berdepan dengan konflik rumahtangga, ia musibah yang mengundang diam. Menghasilkan sepi… dan kehilangan teman seperti ini sungguh misteri.
Berwaspadalah dengan teman yang sepi, menghilangkan diri, di dalam sunyi.

BUKAN JAMINAN
Sabda Nabi SAW, “pilihlah wanita yang memiliki agama, nescaya kamu beruntung” [Sahih al-Bukhari dan Muslim]

Setelah memilih wanita yang beragama, atau lelaki yang beragama juga, apakah bermakna rumahtangga kita sudah beroleh plan ‘takaful’ perlindungan dari musibah, pergaduhan dan penceraian? Tidak perlu diselak lembaran nas, kerana jawapannya ada pada rumahtangga kita dan rakan di sekeliling kita. Sesungguhnya permulaan yang baik, hanyalah suatu permulaan yang baik. Ia tidak mampu mengawal agar seluruh perjalanan rumahtangga itu kekal baik, melainkan usaha menjaga, memantau, dan membangunkan rumahtangga yang baik… kekal berterusan.
Inilah yang sering gagal diberikan perhatian.
“Saya telah menghadiahkan anak saya sebaik-baik hadiah buat mereka, iaitu dengan saya mengahwini seorang perempuan sebaik ‘dia’”, seorang pemuda bermadah pujangga.
Baik semasa berkahwin, bukan jaminan untuk terus baik di sepanjang perkahwinan.

BERMUHASABAH
Mudah cerita, anggap sahaja semua orang kita ini fitrahnya tidak boleh membuka mulut bercakap tentang rumahtangga apabila berdepan dengan pasangan masing-masing. Kita bangsa yang bukan adatnya biasa menyebut I love you! Kita bangsa yang bijak memendam rasa. Segalanya dipendam dan diperam hingga menjadi dendam.
Susah benar untuk berkomunikasi, meluahkan isi hati dan kepala, membincangkan masalah dan meneroka penyelesaian. Itulah kita.
Tetapi jika kita sama-sama sedar bahawa pasangan masing-masing susah untuk berbincang, maka jadikanlah perbincangan itu sebagai suatu peningkatan yang mahu dicapai sejajar dengan rumahtangga yang menuju usia matang. Berjuanglah memperbaiki diri agar akhirnya terhasil upaya berbincang, kerana itulah SATU-SATUnya pelampung keselamatan di bahtera taufan kehidupan berumahtangga.
Usahakan perbincangan. Jadikan ia suatu cita-cita. Cairkan kebekuan dan kebisuan suami, didiklah isteri agar amuk dan rajuknya boleh diheret ke sebuah perbincangan.

MARAH VS BENCI
“Soalnya bagaimana?"
“Pisahkan antara MARAH dan BENCI”
Ya, jangan disembunyikan kemarahan. Suami berhak untuk marah kepada isteri. Isteri juga jangan simpan dan pendam marahnya terhadap suami. Meluahkan kemarahan dengan sebuah pertengkaran adalah jauh lebih sihat dari memendam lagi berdendam. Tetapi dalam pertengkaran itu, janganlah luahan kemarahan bertukar menjadi kebencian. Janganlah dibenci isteri yang sedang mengamuk, atau suami yang sedang membatu.

“Bagaimana mahu dibezakan di antara MARAH dan BENCI?”
Syukur juga sesekali mendapat regu berbual tentang hal-hal sebegini.
“Marah itu adalah luahan rasa tidak puas hati dengan mengharapkan perubahan. Manakala benci pula adalah luahan rasa tidak puas hati tanpa mengharapkan perubahan. Putus asa dengan pasangan!”

Sungguh tipis beza di antara MARAH dan BENCI. Namun untuk dibezakan antara keduanya, kembalilah kita kepada menyoal diri. Apakah yang dituntut semasa pertengkaran berlaku? Apakah luahan rasa tidak puas hati yang tidak tentu hala atau suatu proses yang meletakkan perubahan sebagai hasil yang diharapkan.

KELEBIHAN SEBUAH PERMULAAN

“Habis, kalau kahwin dengan orang beragama pun banyak ragamnya, apa faedah berkahwin kerana nilai agama?”

Soalan ini penting. Jika tidak dijawab dengan baik, akan hilang kesediaan orang untuk bersusah payah memilih pasangan hidup atas faktor agama.

Sebuah rumahtangga yang bermula dengan baik, tetap ada kelebihannya. Tatkala segala badai dan pancaroba melanda, andai rumahtangga yang dahulunya dibina atas semangat dakwah, kini tersasar akibat kecuaian dan tekanan persekitaran dan masa, rumah tangga ini mudah mencari jalan pulang. Setelah mereka pernah sama-sama bahagia di awal jalan yang bersih dan indah dalam kehidupan beragama, pasti sejauh mana sekali pun rumahtangga itu tersasar, ia tetap jelas mencari JALAN PULANG.

Malah, ia menjadi sinar harapan. Bahawa suami dan isteri pernah soleh dan pernah solehah. Potensi itu ada, rujukannya masih segar di minda dan jiwa. Mudah-mudahan luput keraguan dari suami terhadap isteri, dari isteri terhadap suami… bahawa kedua-duanya berpotensi untuk KEMBALI. Pulang ke asal yang baik itu.

Permulaan yang baik itulah juga rujukan Syariatullah dan Sunnatullah. Sebagaimana rumahtangga di hari-hari pertama terhias dengan segala nikmat solat berjemaah bersama, mengaji al-Quran bersama, makan bersama dan pergi ke majlis ilmu bersama, kembalikanlah rumahtangga yang goyah itu kepada apa yang kita sendiri pernah rasai.

Begitu juga kerana nilai kasih sayang, seorang suami dan seorang isteri bisa membuka auratnya untuk ditatap pasangan yang baru dihalalkan, hidupkanlah kembali nilai kasih sayang yang sama untuk masing-masing membuka kelemahan dan keaiban diri, mengiktiraf kekurangan di depan pasangan yang sudah lama dinikahi…
Demi sebuah keredhaan Allah.

Sesungguhnya permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya sebuah permulaan…

No comments: